Orang yang di ampuni harus mengampuni, Matius 18:21-358


Pendahuluan


Bulan ini adalah bulan perayaan Krismas. Saya tanya diri saya sendiri, apakah topik yang paling penting dikatakan dalam bulan perayaan ini? Sudah tentu cerita kelahiran Yesus Kristus memenuhi ruang pemikiran kita di samping persiapan menghadapi perayaan Krismas. Tetapi akhirnya saya memilih untuk menulis mengenai hal pengampunan ja. Bukankah Krismas juga adalah berkaitan berita pengampunan? Saya memetik Injil Matius 18:21-35 sebagai dasar untuk menghurai perkara mengampuni ini. Sebelum kita terus membaca, sudahkah anda mengampuni hari ini? 
Dalam cerita ini (Matius 18:21-25) saya agak Petrus berfikir adalah cukup untuk mengampuni sesamanya 7 kali iaitu 2 kali ganda daripada yang dituntut secara minima oleh Taurat terhadap seseorang umat Yahudi. Namun Yesus menjawab Petrus bahawa Petrus kena mengampuni orang 70 kali 7 kali; dan bukan 7 kali sahaja. Penggunaan angka ini membawa maksud Petrus harus mengampuni sepenuhnya sehingga tidak terkira berapa kalinya, Mat 5:7; 6:12, 14-15; 2 Kor. 2:5-11. Perumpamaan ini mengajar kita 3 perkara perihal mengampuni. Jangan lupa, Allah telah terlebih dahulu mengampuni kita di atas kayu salib, Dia terlebih dahulu merendahkan diri, meninggalkan takhta sorga untuk dilahirkan dari seorang perawan Maria namanya. Ini adalah cerita Krismas, cerita Natal. Apakah 3 perkara itu?

1. Kerana Allah begitu mengasihi manusia sehingga Dia mengampuni manusia walaupun berdosa besar, 26-27, Yoh 3:16

Cerita ini membawa maksud hutang hamba ini terlalu besar dan banyak dan dia tidak mampu untuk membayarnya. Maka tibalah masanya dia diminta memberikan pertanggunganjawaban, tetapi ternyata dia tidak mampu membayar segala hutangnya. Ini bermakna dia, seisi keluarga serta apa saja harta miliknya yang ada akan dijual, atau dia dan seisi keluarga dimasukkan ke dalam penjara sehingga lunas hutangnya.  Tetapi dia meminta belas kasihan dan dia telah diampuni sepenuhnya (hutang dilupuskan).
Demikianlah halnya dengan hutang dosa; ia tidak dapat dibayar dengan perbuatan terbaik sekalipun. Akibatnya adalah maut (Rom 6:23), menjadi hamba iblis, tidak dapat menyenangkan hati Allah. Tetapi sama seperti dalam cerita ini Allah mengampuni dan pengampunan-Nya indah dan menghiburkan, Yes 1:18.

2. Manusia yang sudah diampuni dosanya pula harus mengampuni sesama manusia, 28-34, Mat 6:12

Hamba yang telah diampuni tadi pula tidak mengampuni sesama hambanya yang berhutang kepadanya, malah dia menzaliminya walaupun hutang hamba itu tidaklah sebanyak hutangnya sendiri. Akibat dari kezalimannya perkara itu dibawa kepada raja itu. Akibatnya, hamba yang tidak mengampuni dan zalim itu dipenjarakan sehingga hutangnya dilunaskan.
Hamba yang zalim itu tidak memahami atau menghargai erti dan nilai pengampunan yang diterimanya terlebih dahulu. Perbuatan kejamnya itu hanya menunjukkan dia tidak pernah mengalami kekudusan anugerah Injil.
Supaya kita mampu mengampuni sesama sendiri jangan kita tumpu pada kesalahan orang lain melainkan tumpu pada dosa kita sendiri yang telah terdahulu diampuni Allah. Justeru itu kita mengampuni.

3. Allah tidak mengampuni manusia yang tidak mengampuni, 35, Mat 6:15

Ini pula adalah amaran untuk semua penjala jiwa kerana dalam cerita atau perumpamaan ini jelas menunjukkan bahawa Yesus telah bersabda bahawa perkara serupa akan terjadi kepada orang yang tidak mengampuni, 35.
Pun begitu, kejahatan dosa tidak membatalkan belas kasihan Allah; malah memperkayakan belas kasihan dan pengampunan-Nya.
Pengampunan yang berbalas kasihan memberi penghiburan sebenarnya, justeru membuat hati kita ingin mengampuni saudara kita yang lain, seterusnya kita harus mencari kebajikan orang walaupun dia menyakiti kita.

Penutup

Mari kita terus mencari anugerah baru setiap hari dari Allah untuk mengajar kita mengampuni orang seperti kita meminta Allah mengampuni dosa kita. Allah kita penuh dengan kasih sebab itu Dia mengampuni. Jika anda tidak dapat mengampuni, orang lain itu kerana anda tumpu pada kesalahannya, bukan pada dosa anda yang telah diampuni Allah. Kasih anda harus dapat mengampuni orang lain termasuk mereka yang paling tidak layak diampuni. Putuskan hari ini untuk mengampuni.
Selamat Hari Krismas. - Rev Canon Lidis Singkung

Comments