Kunci kerajaan syurga


Kunci berfungsi sebagai pembuka apa yang tertutup dan tersembunyi tetapi juga berfungsi untuk menutup apa yang terbuka dan terdedah. Kunci kerajaan sorga diberikan kerana Petrus telah mengaku dengan benar dan tepat bahawa Yesus adalah Mesias (Penyelamat). “Kuberikan kunci”. Firman Tuhan ini adalah serius dan jujur. Pengertian kata “kunci” ini amat luas namun mari kita melihat 2 maksud kunci kerajaan sorga bulan ini.

1.   Kunci Pengajaran (doktrin).
Selepas pengakuan Petrus dan dalam konteks penjangkauan sedunia kita memiliki Injil yang mengandungi semua yang perlu untuk keselamatan.  
  • Kini kita memiliki pengajaran atau pengetahuan ini untuk diberitakan dalam nama Allah iaitu Injil kebenaran yang baik kerana di dalamnya terkandung seluruh kehendak Allah untuk kita, Kis 20:27. 
  • Kunci ini adalah kuasa untuk mengkhabarkan Injil pengampunan dan damai sejahtera (terlepas dalam Mat 16:14) tetapi jika kita teliti penerapannya ia termasuk juga menghalang (terikat dalam Mat 16:14) Injil daripada didengar atau diterima oleh peribadi atau kumpulan tertentu, Kis 13:46; 18:6

2.  Kunci Peraturan (disiplin)
Dalam konteks gereja lokal, kita memiliki kunci peraturan atau juga disebut disiplin untuk menerapkan kunci pengajaran, bukan dari sudut penguatkuasaan semata-mata tetapi sebagai kuasa pengamatan. 
  • Kunci ini adalah kuasa menerima keanggotaan gereja melalui pembaptisan, penetapan dan perpindahan dari gereja lain  
  • Kunci ini adalah kuasa mengucilkan keanggotaan dari dalam gereja seperti Simon (Kis 8:21), Himeneus dan Aleksander (1 Tim 1:20)
  • Kunci ini adalah kuasa memulih dan menerima semula keanggotaan atas dasar pertaubatan ( 2 Kor 2:7)
Sesungguhnya pelayanan pemberitaan Injil adalah kunci kerajaan sorga. Pintu sorga tertutup bagi orang yang menolaknya (terikat); di sebaliknya berbahagialah dia yang menerimanya kerana pintu sorga terbuka luas baginya (terlepas).Kerja seorang penjala sekarang bukanlah untuk mempertikaikan kepada siapakah pintu sorga harus dibukakan atau ditutup. Tugas seorang penjala adalah menjelaskan kehendak Allah akan kebenaran dan tanggungjawab kita, kita menerima panggilan, kuasa, dan peraturan untuk mengikat dan melepaskan melalui pemberitaan Injil. - Rev Canon Lidis Singkung

Comments